Pengesahan Dalam Jawatan Dan Pemberian Taraf Berpencen
1.      Apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh seseorang staf untuk disahkan dalam perkhidmatan?

® Memenuhi tempoh percubaan yang ditetapkan (1-3 tahun)

® Hadir dengan jayanya dan lulus Kursus Induksi yang ditetapkan,

® Mendapat perakuan Ketua Jabatan

 

2.      Apakah yang akan berlaku sekiranya seseorang staf gagal disahkan dalam perkhidmatan dalam tempoh yang ditetapkan?

         Tempoh percubaan staf tersebut boleh dilanjutkan sama ada dengan denda atau tanpa denda.

 

3. Berapa lamakah tempoh percubaan seseorang staf itu boleh dilanjutkan?

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Perlantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005, perkara 28 (6), perlanjutan tempoh percubaan hanya dibenarkan untuk tempoh tidak melebihi 2 tahun. Staf boleh ditamatkan perkhidmatan sekiranya masih tidak dapat disahkan selepas tempoh 2 tahun tersebut.

 

4. Apakah yang dimaksudkan dengan Perlanjutan Tempoh Percubaan dengan Denda?

Staf tidak layak mendapat pergerakan gaji tahunan semasa lanjutan tempoh percubaan dengan denda. Implikasi daripada itu, tarikh pergerakan gaji tahunan staf akan berubah kepada tarikh yang baru dan beliau akan hilang kekananan bagi tempoh perlanjutan tersebut.

 

5. Bilakah tarikh pengesahan dalam perkhidmatan bagi staf yang telah dilanjutkan tempoh percubaan?

Pada hari pertama staf tersebut memenuhi syarat pengesahan yang telah ditetapkan

 

6. Bolehkah seseorang staf disahkan dalam perkhidmatan selepas setahun berkhidmat?

Boleh, dengan syarat staf tersebut telah memenuhi semua syarat pengesahan dalam perkhidmatan yang ditetapkan kerana tempoh percubaan untuk Sistem Saraan Malaysia adalah 1-3 tahun.

 

7. Adakah staf yang telah disahkan dalam perkhidmatan di jabatan lama perlu mengikuti semula Kursus Induksi di UNIMAS sekiranya mendapat pelepasan dengan izin?

Staf boleh memohon pengecualian dari menduduki semula kursus Induksi dengan mengemukakan permohonan ke Unit Perkhidmatan, BPPSM dan menyertakan salinan sijil kursus Induksi yang telah diperolehi sebelum ini tertakluk kepada syarat kursus induksi tersebut adalah dalam skim perkhidmatan yang sama.

 

 8. Bilakah opsyen untuk memilih Skim Pencen akan diberikan kepada staf?

Semasa proses pertimbangan untuk pengesahan dalam perkhidmatan.